SulawesiPos.com – Alhamdulillah, Allah telah memberi saya peluang menikmati Ramadan di United Kingdom, Amerika Syarikat, Mesir dan Iran. Namun, sejauh mana pun kaki melangkah, Ramadan di tanahair sendiri; Malaysia, sentiasa mempunyai keistimewaan yang tidak dapat ditukar ganti. Ada keunikan yang sukar digambarkan dengan kata-kata; ia adalah gabungan antara pesta merebut pahala, semangat kebersamaan, dan keterujaan khusus ketika Ramadan dan memuncak menuju Syawal.
1. Berlumba-lumba untuk memberi

Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah, tetapi sifat ini membuak-buak apabila tiba bulan Ramadan. Inilah masanya “Bakul Ramadan” yang berisi barang dapur asas seperti beras, minyak, dan gula diedarkan secara meluas kepada golongan memerlukan.

Keunikan yang paling dirasai adalah tradisi Iftar Percuma di masjid dan surau. Hampir setiap masjid di Malaysia menyediakan hidangan berbuka puasa setiap hari. Bagi para pelajar atau mereka yang merantau jauh dari keluarga, fenomena “masjid hopping” (berpindah dari satu masjid ke satu masjid) untuk berbuka puasa adalah perkara biasa. Ia bukan sekadar tentang makanan percuma, tetapi tentang semangat ukhuwwah di mana semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang duduk rapat di atas hamparan yang sama untuk berbuka puasa.

2. Bazaar Ramadan yang meriah

Malaysia sinonim dengan Bazaar Ramadan iaitu pasar khas pada  Bulan Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah untuk iftar. Bayangkan sebuah jalan yang panjangnya mencecah 1 hingga 2 kilometer, dipenuhi dengan pelbagai gerai yang menjual segala macam hidangan daripada Nasi Lemak, Ayam Percik, hinggalah ke pencuci mulut moden.

Bagi pencinta makanan atau food hunters, Ramadan adalah waktu untuk “bazaar hopping”. Kita akan melihat lautan manusia berpusu-pusu dengan beg plastik di tangan. Walaupun ia kelihatan seperti pesta makanan; bagi rakyat Malaysia, ia adalah sebahagian daripada ritual sosial yang memeriahkan suasana sebelum tibanya waktu iftar.
3. Tarawih: Pesta ibadah khusus Ramadan

Satu perkara yang saya sangat hargai tentang suasana solat Tarawih di Malaysia ialah sifatnya yang sangat inklusif. Secara umumnya, masjid di sini melaksanakan sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Menariknya, tiada paksaan atau rasa segan jika seseorang itu memilih untuk pulang selepas rakaat kelapan walaupun imam meneruskan sehingga rakaat ke-20. Suasana ini membuatkan semua orang merasa dialu-alukan untuk datang ke masjid mengikut kemampuan masing-masing.


Malah, masjid di Malaysia kini sangat mesra keluarga. Banyak masjid menyediakan seksyen khas untuk kanak-kanak. Ada yang sekadar menyediakan ruang mewarna, namun ada juga yang menyediakan taman permainan lengkap dengan gelongsor! Ini membolehkan ibu bapa fokus kepada ibadah sementara anak-anak bermain dalam persekitaran yang selamat.
4. Moreh: tradisi juadah ringan selepas tarawih yang mengeratkan sillaturrahim
Selesai solat Tarawih, acara yang paling ditunggu-tunggu adalah Moreh. Moreh ialah jamuan ringan selepas solat yang biasanya dibiayai oleh sumbangan orang ramai.

Sistem tajaan Moreh di Malaysia sangat kompetitif! Sebaik sahaja jadual penajaan dibuka, slot-slot tersebut akan penuh dengan pantas. Orang ramai berebut-rebut ingin menyumbang sama ada dalam bentuk wang ringgit atau menghantar makanan sendiri ke masjid. Suasana berbual santai sambil menikmati teh tarik dan kuih-muih selepas solat adalah memori Ramadan yang paling manis.
5. Fenomena Khairul Aming dan Penangan “Sold Out”
Di zaman digital ini, Ramadan di Malaysia tidak lengkap tanpa video masakan daripada pempengaruh (influencer) terkenal, Khairul Aming. Dengan siri video “30 Hari 30 Resepi”, beliau telah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Setiap video beliau mencecah jutaan tontonan. Impaknya sangat luar biasa; jika beliau menggunakan satu bahan khusus dalam masakannya, bahan tersebut akan “sold out” di pasar raya! Malah, ada pasar raya di Malaysia yang menyediakan seksyen khas “Resepi Khairul Aming” untuk memudahkan pelanggan mencari bahan. Trend ini juga melahirkan video-video lucu “Kami Buat Tak Jadi” daripada netizen yang mencuba resepi beliau, menambah lagi keceriaan di media sosial.
6. Pertempuran “Lagu Raya”
Walaupun kita masih dalam bulan Ramadan, persediaan menyambut Syawal sudah bermula awal. Dua minggu sebelum berakhirnya Ramadan, Malaysia akan dilanda fenomena pertempuran lagu raya.



Artis, pempengaruh, malah syarikat korporat akan berlumba-lumba melancarkan lagu raya baharu di YouTube. Rakyat Malaysia akan memilih lagu tema raya bagi tahun tersebut. Lagu yang paling banyak digunakan sebagai muzik latar di TikTok atau Instagram biasanya akan dianggap sebagai pemenang trend tahun itu. Keriuhan ini membuktikan betapa rakyat Malaysia sentiasa meraikan Ramadan dan Syawal dengan penuh semangat kreatif.
Penutup
Ramadan di Malaysia adalah sebuah pengalaman yang penuh warna-warni. Ia adalah gabungan antara disiplin ibadah, kemeriahan kulinari, dan keakraban sosial. Walaupun saya menghargai pengalaman di luar negara, namun pengalaman Ramadan di tanahair sendiri tetap yang paling istimewa.
Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan buat kita semua, sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia. Mari kita lakukan yang terbaik dalam bulan suci ini, dan semoga kita diberikan peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadan tahun-tahun mendatang, insya-Allah

